Mohd Saari melihat keadaan bahagian dapur kediamannya yang roboh dihempas ombak dan air pasang penuh di Kampung Pantai Balik Batu, Tanjung Bidara di Alor Gajah. Foto Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


LAPAN sekeluarga cemas dan bergegas menyelamatkan diri selepas terdengar dentuman kuat dari dapur kediaman mereka apabila struktur bahagian itu tiba-tiba runtuh dihempas ombak di Kampung Pantai Balik Batu, Tanjung Bidara di Alor Gajah malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, Azlan Idris, 59, bersama isteri, dua anak perempuan, seorang menantu lelaki dan tiga cucunya terpaksa keluar dari rumah berkenaan selepas terkejut mendengar bunyi berkenaan.

Menurutnya, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala ahli keluarga yang lain sudah tidur di bilik masing-masing sebelum terdengar dentuman kuat dari arah dapur.

“Saya terus mengejutkan isteri, anak, menantu dan cucu sebelum mengarahkan mereka segera keluar dari rumah kerana bimbang dapur yang roboh itu turut menjejas struktur lain.

“Sejak seminggu lalu, struktur dapur itu agak senget hakisan oleh ombak dan air pasang penuh yang melanda,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Azlan berkata, masalah hakisan pantai semakin serius sejak Julai lalu menyebabkan pasir pantai ditarik ke laut sekali gus mengancam kediamannya dan 22 penghuni di empat rumah lain yang berjiran dengannya.

Dia minta kerajaan negeri prihatin dengan keadaan mereka itu dengan memberi bantuan membina tembok penahan ombak di pinggir pantai terbabit bagi mengelak hakisan menjadi lebih buruk.

Menantunya, Mohd Saari Mohd Sabri, 32, berkata, dia dan bapa mentuanya sebelum ini bercadang untuk menjalankan kerja pembaikan dapur berkenaan tetapi bimbang hakisan semakin meluas.

Jiran Azlan, Aisyah Abdul Ghani, 52, pula berkata dia dan suaminya, Abdul Rahman Daud, 59, serta dua anak lelaki berusia 16 dan 21 tahun yang tinggal bersama juga mengalami masalah yang sama dan bimbang kerana hakisan sudah hampir mencecah lantai dan dinding dapur kediamannya.

Menurutnya, anaknya, Mohd Fadzrin, 21, terpaksa membina benteng guni pasir di belakang kediaman mereka bagi mengurangkan kesan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:03 PM