ANGGOTA PDRM dari Unit Jenayah Berat (D9) mengawal kawasan sekitar mahkamah ketika kes pendakwaan penjenayah bermotosikal Geng Emi Keju tiba di Mahkamah Selayang. FOTO Rosdan Wahid
ANTARA ahli Geng Emi Keju dibawa ke mahkamah. FOTO Rosdan Wahid
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SERAMAI 19 ahli kumpulan ‘Geng Emi Keju’ yang giat melakukan samun bersenjata sejak 2013 didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas pertuduhan menganggotai dan membantu kumpulan jenayah terancang.

Kesemua lelaki berusia antara 21 tahun dan 38 tahun itu masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka adalah Zairy Huzaimy Md Akhir yang juga digelar Emi Keju, 32; Muhammad Khairuddin Osman, 25; Amirul Rezky Md Akhir, 23; Muhamad Norrazak Azmi, 29; Jazli Jamal, 24;

Mohamad Habib Abdul Jabar, 33; Abdul Rahman Mohamed Daud, 29; Muhammad Neshril Rustam, 31; Makmur Saleng, 32 dan Muhammad Ikmal Aizam Azwani, 18.

Tertuduh lain adalah Muhammad Nur Farhan Sutarman, 25; Muhammad Arif Aiman Mohd Rasol Ambia, 21; Farizuwan Baharom, 25; Nor Azuwan Hafifi Md Akhir, 28; Mohamad Firdaues Azwani, 26; Affandy Hardey, 38; Muhamad Imran Abdullah, 23; Mohammad Kahirul Azhar Abdullah 26 dan Mohamad Yusuf Mat Nasir, 28.

Selepas selesai prosiding pendakwaan kes itu, suasana bertukar menjadi sayu apabila anak perempuan salah seorang tertuduh yang berusia dua tahun memanggil nama bapanya dari luar bilik tahanan.

Bertambah sedih apabila ibu seorang lagi tertuduh menangis dan merayu pihak polis supaya membenarkannya memeluk serta mencium anaknya itu sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Insiden itu menyebabkan polis mahkamah terpaksa menenangkan ahli keluarga tertuduh yang tidak dapat mengawal perasaan mereka.

Mengikut pertuduhan, 18 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Emi Keju’ di Lot 3576 Kampung Indian Settlement, Jalan Bunga Raya 3, Batu Caves, di Gombak, antara 25 Januari 2017 dan 23 Julai 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu seorang lagi tertuduh, Mohamad Yusuf, didakwa membantu ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Emi Keju’ di Warta Lama Pasar Borong Selayang, antara 22 Disember 2017 dan 23 Disember 2017 mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias.

Dalam prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin berikutan kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin.

Hakim Syafeera menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro semalam melaporkan penjenayah berbahaya dan paling dikehendaki dikenali sebagai Geng Emi Keju yang aktif dengan 54 kes samun bersenjata membabitkan kerugian

lebih RM4 juta sejak 2013 lalu akhirnya berjaya ditumpaskan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 3:17 PM