KERETA dinaiki Melinda merempuh pemotong rumput Thailand. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


RISAU dan takut. Situasi itu dialami Melinda Susilanini, 31, yang kini ditahan di lokap Balai Polis Rattaphum susulan kemalangan menyebabkan lima kematian di Lebuh Raya Asia Khuha Tai, Rattaphum di Wilayah Songkhla, Selasa lalu.

Ia dikongsikan ibunya Nik Rosnani Nik Li, 50, apabila berpeluang berhubung dengan anaknya ketika lawatan Konsulat Malaysia ke balai polis itu, semalam.

Nik Rosnani berkata, dia hanya dapat memberikan kata-kata semangat supaya anaknya itu terus bersabar dan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

“Dia menangis kerana risau dan takut dengan apa yang berlaku. Saya hanya dapat minta dia kuatkan semangat dan jaga dirinya.

“Saya tidak mahu mengusutkan lagi keadaan dan meminta dia bersabar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya sampai bila anaknya akan ditahan di lokap itu, Nik Rosnani berkata, dia tiada maklumat mengenai perkara itu.

“Saya dimaklumkan perlu mencari peguam untuk menguruskan kes itu dan akan dibantu Konsulat Malaysia,” katanya.

Katanya, seorang lagi anaknya, Akma Mohd Azalan, 23, dan kenalan anaknya yang turut terbabit dalam kejadian itu sudah dibebaskan.

“Namun mereka masih berada di Songkhla di bawah jagaan Konsulat,” katanya.

Pada 3 petang Selasa lalu, lima pemotong rumput rakyat Thailand maut manakala, seorang lagi parah apabila dirempuh kereta dinaiki tiga rakyat Malaysia.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai.

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit terlanggar sesuatu sebelum hilang kawalan lalu merempuh semua mangsa yang berada di bahu jalan.

Berita berkaitan

5 maut dirempuh wanita Malaysia di Songkhla

'Masih tak tahu situasi anak'

Pegawai kedutaan ke lokasi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 3:12 PM