LEE (tiga dari kiri) bersama pengamal media selepas merasmikan program latihan MSP di KLCC, semalam.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa organisasi media bekerjasama meningkatkan pemahaman isu keselamatan dan kesihatan kepada kakitangannya.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebagai majikan, mereka perlu melengkapkan wartawan, jurukamera dan jurugambar masing-masing mengenai keselamatan dan kesihatan ketika menjalankan tugas harian.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab organisasi media memastikan kakitangannya bertugas di kawasan berisiko seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran alam sekitar, demonstrasi, loji dan tapak pembinaan mempunyai pengetahuan mengenai isu keselamatan.

“NIOSH sedia membantu organisasi media dalam soal keselamatan dan kesihatan. Saya yakin jika majikan dapat bekerjasama dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja mereka, ia mendatangkan banyak faedah termasuk dapat mengurangkan risiko kemalangan pekerjaan.

“Kakitangan media juga terdedah kepada pelbagai penyakit dan bahaya lain ketika membuat liputan bencana alam atau wabak penyakit selain berhadapan dengan kemungkinan tercedera atau terbunuh apabila dihantar ke kawasan peperangan atau konflik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program latihan Pasport Keselamatan Media (MSP) dengan kerjasama organisasi media kerajaan dan juga swasta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang, Pengerusi Astro Malaysia Holding Berhad, Tun Zaki Tun Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Lee berkata, MSP adalah modul e-pembelajaran hibrid pertama yang mana peserta boleh belajar secara dalam talian sebelum mereka menghadiri kelas dan mengambil peperiksaan untuk mendapatkan pasport keselamatan.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHA) 1994, adalah menjadi kewajipan majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka,” katanya.

Sementara itu, pengamal perhubungan awam, Aniza Osman, 44, berkata, program ini sangat baik untuk pengamal media kerana mereka dapat mengetahui hak dan kebajikan kakitangan media yang bertugas di kawasan risiko.

“Agensi media juga perlu peka dengan keperluan sekiranya membawa media membuat liputan di kawasan bencana alam atau sebagainya demi menjaga kepentingan dan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:01 AM