Huzir (tiga kiri) melihat barang kemas yang dirampas daripada Geng Emi Keju ketika sidang media di IPK Selangor di Shah Alam hari ini. Foto Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


KUMPULAN penjenayah berbahaya dan paling dikehendaki dikenali sebagai Geng Emi Keju yang aktif dengan 54 kes samun bersenjata membabitkan kerugian lebih RM4 juta sejak 2013 lalu akhirnya berjaya ditumpaskan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 17 ahli geng terbabit termasuk ketuanya yang berusia 20 hingga 38 tahun ditahan polis dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, esok.

Menurutnya, geng penjenayah itu bermula dengan skala kecil dengan bersenjatakan parang sebelum semakin berkembang hingga berani menggunakan senjata api dan menyamun kedai emas serta van keselamatan.

“Kumpulan itu dipercayai terbabit dengan kejadian samun di restoran di Ampang Jaya pada Mei 2017, samun van keselamatan di Ampang Jaya pada September 2017, samun kedai emas di TESCO Rawang pada Disember 2017 dan banyak lagi.

“Mereka juga terbabit dengan kes ‘samun berantai’ menggunakan motosikal di beberapa daerah di Selangor sehingga kejadian itu tular di media sosial,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Harian Metro pada 24 Jun lalu melaporkan Emi Keju serta konconya ditahan polis ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, kumpulan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 130W Kanun Keseksaan kerana membantu kumpulan jenayah terancang.

“Pendakwaan terhadap mereka dijalankan dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.

“Dalam beberapa siri serbuan terhadap kumpulan itu, polis berjaya merampas tiga pucuk pistol angin dan sebahagian barang kemas hasil kegiatan jenayah mereka.

“Selain itu, polis turut membekukan beberapa akaun bank yang dipercayai menyimpan hasil samun mereka berjumlah RM15,550 serta menyita dua kereta Honda City dan Honda Accord bernilai RM96,000,” katanya.

Huzir berkata, kumpulan terbabit boleh dianggap ‘sangat bijak’ kerana merancang setiap kegiatan jenayah mereka dengan teliti sehingga menyukarkan tugas polis.

“Ahli kumpulan mereka terdiri daripada rakan serta ahli keluarga Emi Keju sendiri dan sekiranya tidak ditangkap tidak mustahil mereka akan menjadi seperti Geng Mamak.

“Modus operandi geng ini adalah dengan berkumpul di rumah inap di kawasan tertentu bagi membincangkan dengan terperinci lokasi yang akan disamun mereka,” katanya.

Menurutnya, dalang kumpulan dikenali sebagai Emi Keju berusia 32 tahun dan adalah bekas pelajar Sekolah Henry Gurney, Melaka.

“Kebanyakan ahli geng ini adalah mereka yang menghadapi pertuduhan di mahkamah tetapi bebas kerana diberikan jaminan.

“Sehingga kini, ada empat lagi ahli geng ini yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 4:01 PM