GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim & Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

POLIS akan mengambil tindakan terhadap seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun bernama Zikri Armstrong kerana memuat naik ciapan mendakwa Nora Anne Quoirin dirogol orang asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan pengguna media sosial itu adalah satu fitnah.

Beliau ketika dihubungi bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung ciapan berkenaan yang mulai tular sejak semalam.

Katanya, polis akan melakukan siasatan terhadap pengguna Twitter itu.

“Itu adalah fitnah. Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan (mengenai ciapan), bagaimanapun akan melakukan siasatan,” katanya, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu ciapan oleh pengguna lelaki menggunakan nama Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol orang asli.

“Perogol Nora Anne adalah orang asli. Police will never find the killer cuz most orang asli still dont have IC or any sort of citizen data. Bet me,” katanya di laman Twitter itu.

Lokasi resort tempat penginapan Nora Anne dan keluarganya dekat hutan di Pantai, di Seremban, adalah berdekatan kawasan penempatan Orang Asli.

Selepas 10 hari kehilangannya, mayat Nora Anne ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari resort berkenaan tanpa pakaian jam 1.57 tengah hari, kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:59 AM