Gambar hiasan
BERNAMA

PENJUALAN ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan masih dilakukan di Pasar Safma di Kota Kinabalu dengan peniaga didapati menyorokkan hasil tangkapan itu di bawah meja selain meletakkannya di tepi dinding berhadapan kilang ais berhampiran sebelum dijual.

Tindakan peniaga itu dikesan dalam operasi bersama membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dan Jabatan Perikanan Sabah pada 12.30 tengah hari semalam yang turut merampas 50 kilogram ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

Dalam kenyataan hari ini, Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, Unit Risik PPM menjalankan risikan dan pemantauan selama beberapa hari di sekitar kawasan Safma bagi mengenal pasti individu yang menjual ikan bom.

Menurutnya, 11 meja peniaga ikan diperiksa dalam operasi itu dan pemeriksaan terhadap pelbagai jenis ikan dilakukan sendiri pegawai Jabatan Perikanan bagi mengenal pasti ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Objektif utama operasi ini adalah bagi membanteras dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan pengeboman ikan dan penjualan ikan bom di pasaran,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM700 bersama tong warna merah.

Katanya, kes diserah kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.

“Sabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (b) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:47 AM