Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


LEBIH 30 wartawan dan jurugambar pelbagai agensi berita berkumpul di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) Seremban, bagi membuat liputan bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin.

Mereka yang terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa sebelum itu hanya dibenarkan berkumpul di hadapan Jabatan Perubatan Forensik yang dikawal oleh anggota polis.

Ada antara petugas media tiba seawal jam 7 pagi ini bagi mengikuti perkembangan keputusan bedah siasat remaja Ireland itu.

Bagaimanapun, sidang media mengenainya dijangka diadakan jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne dilakukan bermula jam 11.45 pagi semalam dan selesai jam 9.25 malam tadi.

Bedah siasat dikendalikan Pakar Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari HTJS selain dibantu pakar dari Jabatan Kimia.

Kelmarin, mayat Nora Anne ditemui pada 1.57 tengah hari kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi penginapan keluarganya di sebuah resort di Pantai, dekat Seremban.

Mayat remaja itu ditemui oleh pendaki yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan selepas menerima laporan kehilangannya pada 4 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:26 AM
    PETUGAS media berkampung di HTJ. FOTO Hasriyasyah Sabudin