Kebakaran belukar di Kampung Sedi, Pulau Bruit di Daro diburukkan lagi dengan perbuatan khianat individu tidak dikenali pada awal pagi tadi. Foto Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my


KEBAKARAN belukar yang berlarutan di Kampung Sedi, Pulau Bruit di Daro sejak sembilan hari lalu diburukkan lagi dengan perbuatan khianat yang dikesan pada awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, perbuatan itu dikesan sepasukan anggota bomba yang membuat rondaan di kawasan terjejas pada 1 pagi.

Menurutnya, pihaknya mengesan ada individu membakar belukar berhampiran dua kediaman penduduk dipercayai dengan niat mencetuskan kebakaran rumah terbabit.

“Selepas menyedari perbuatan individu yang tidak dikenali itu, anggota bomba bersama beberapa penduduk kampung bertindak mengejarnya tetapi dia berjaya melepaskan diri.

“Perbuatan khianat itu menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat dan api semakin marak serta sukar dikawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ling Hii berkata, api yang marak dalam keadaan gelap juga mendedahkan anggota serta aset kepada risiko keselamatan.

“Anggota kami berusaha mencari akses lain untuk menyelamatkan dua rumah itu daripada terbakar.

“Usaha masih dijalankan oleh pihak bomba untuk menyekat dan mengawal kebakaran hutan daripada merebak ke kawasan kilang sawit berdekatan,” katanya.

Menurutnya, laporan polis juga sudah dibuat hari ini mengenai perbuatan khianat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 9:47 AM