WAN Rongak ditahan polis selepas rakaman kejadian ragut ke atas seorang wanita di kafe tular di media sosial.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


KLUANG: Suspek disyaki aktif jenayah samun di sekitar daerah ini yang dikenali sebagai Wan Rongak dicekup polis di sebuah rumah di Jalan Kampung Tengah di sini, jam 2 petang, kelmarin.

Lelaki berkenaan diburu polis bagi membantu siasatan kes ragut membabitkan seorang wanita di sebuah kafe di Taman Sri Kluang, 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, video kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kafe berkenaan tular di media sosial.

“Bertindak atas laporan yang diterima, kami menubuhkan pasukan khas membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi Op Rentap memburu suspek.

“Hasil maklumat awam dan risikan, suspek berusia 31 tahun ditahan semalam (kelmarin). Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam tiga kes ragut,” katanya menerusi kenyataan, semalam.


BEG dan barang milik mangsa yang dipercayai diragut suspek.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek juga melarikan diri daripada pengawasan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Rompin, Pahang sejak Jun lalu.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati suspek memiliki 16 rekod jenayah dan dikehendaki bersabit kesalahan melanggar syarat perintah pengawasan polis.

Mohd Abduh berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dibawah pengaruh dadah methapetamine.

“Kami turut merampas sebuah motosikal, topi keledar, enam kad pengeluaran wang automatik (ATM), sekeping cek bernilai RM6,500, lapan helai resit simpanan tetap bernilai RM80,000, tiga MyKid dan dompet serta beg tangan daripada suspek.

“Rakan suspek yang masih bebas sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka terbabit giat dijalankan. Kami melakukan semakan jika suspek terbabit dalam jenayah lain,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 382 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:01 AM