KEBAKARAN belukar gambut di kawasan Kompleks Hamidah masih berlaku menyebabkan jerebu teruk di Miri.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pembakaran hutan dan tanah gambut di sekitar Miri di Sarawak dipercayai menjadi antara punca utama beberapa kawasan di bahagian itu dilanda jerebu teruk sejak beberapa hari lalu.

Sebanyak 370 kes kebakaran dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di seluruh negeri berkenaan sejak 1 Ogos dengan purata 30 laporan setiap hari.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan dua kawasan di Bahagian Miri terus mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bahaya dan sangat tidak sihat sehingga jam 5 petang semalam.

APIMS melaporkan IPU di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan paras bahaya dengan bacaan antara 364 hingga 368 dalam tempoh 12 jam.

Dua kawasan lain yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 dan Sri Aman masing-masing dengan bacaan 271 dan 253.

Manakala IPU di bandar Miri mencatatkan bacaan tidak sihat sejak jam 5 pagi semalam dengan trend bacaan meningkat menjadi 131 pada jam 5 petang.

Pencemaran udara di kawasan Miri disebabkan pembakaran hutan paya gambut yang berlaku sejak minggu lalu dengan 370 kes dilaporkan kepada JBPM Sarawak sejak 1 Ogos hingga semalam.

Kawasan lain di Semenanjung dan Sabah mencatatkan bacaan IPU sederhana bagi tempoh bacaan sama.

Faktor lain yang menyebabkan jerebu di negara ini ialah kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia antaranya Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam, orang ramai boleh melayari http://apims.doe.gov.my.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:40 AM