INSPEKTOR Mohamad Firdaus menyerahkan semula cincin milik penumpang, Mohd Nazir yang tercicir di LTSM. FOTO Twitter MAHB
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA tak sangka mereka masih menyimpan cincin berkenaan dan berterima kasih kepada semua kakitangan bertugas terutama dua anggota polis bantuan itu kerana mengamalkan sikap amanah serta jujur dalam menjalankan tugas,” kata Mohd Nazir Ismail.

Mohd Nazir, 35, memberi reaksi itu sebagai penghargaan kepada dua anggota polis bantuan yang berkhidmat di bahagian Anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, kerana membantu mencari cincin miliknya yang tercicir ketika dia berada di lapangan terbang berkenaan.

Menceritakan perkara sebenar, Mohd Nazir berkata, cincin berkenaan hilangpada 23 Mei lalu ketika dia dan isteri, Fatimah KamilaJusoh, 35, mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti di kampung halaman.

“Saya tidak sedar bila cincin itu tertanggal daripada jari sehingga berada di dalam pesawat.

“Disebabkan pesawat hampir berlepas, saya tidak sempat berpatah balik mahupun menghubungi pengurusan lapangan terbang untuk mendapatkan bantuan.

“Jadi, saya tunggu sehingga tiba di klia2 untuk menghubungi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membuat aduan berhubung kehilangan barangan peribadi dan dengan pertolongan dua anggota berkenaan, cincin itu berjaya ditemui.

“Cincin itu amat sentimental buat saya kerana ia adalah hadiah isteri pada hari pernikahan kami dan rasa lega selepas mereka (polis bantuan) menemuinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Mohd Nazir, beliau sepatutnya menuntut cincin berkenaan pada hari ketiga Aidilfitri namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan mempunyai urusan yang tidak dielakkan.

Namun, kesempatan pulang ke kampung sempena Aidiladha baru-baru ini digunakannya untuk menuntut semula cincinberkenaan.

“Kebetulan, saya dan isteri ke Kuala Terengganu menaiki kereta dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah ke LTSM untuk menuntut semula cincin berkenaan.

“Dalam fikiran saya, cincin itu sudah tiada tetapi sangkaan saya meleset selepas melihat ia disimpan di dalam peti keselamatan dan masih dalam keadaan baik.

“Tiada kata yang dapat saya ungkapkan ketika menerima cincin berkenaan melainkan ucapan terima kasih kepada dua anggota polis bantuan berkenaan dan semua warga kerja LTSM.

“Kejujuran mereka membuatkan saya terharu dan nilai murni itu seharusnya dicontohi semuatidak kira kakitangan yang berurusan dengan pelacong mahupun orang awam,” katanya.

Sementara itu, Inspektor Mohamad Firdaus Ahmad Suhaimi, 29, berkata beliau bertugas di balai berlepas pada hari kejadian dan mencari cincin yang hilang selepas menerima panggilan daripada unit barang hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Menurut Mohamad Firdaus, beliau tidak berseorangan sebaliknya dibantu rakan setugas, Sarjan Mazlan Sulong dan mengambil masa selama 20 minit sebelum menemui cincin berkenaan .

“Ini bukan kali pertama saya mengendalikan kes sebegitu kerana pernah menemui telefon bimbit, beg duit dan lain-lain barangan peribadimilik penumpang.

“Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kami di bahagaian AVSEC MAHB untuk memastikan keselamatandan menjaga harta benda syarikat serta penumpang sepanjang berada di lapangan terbang.

“Terima kasih kepada pengurusan syarikat kerana memberikan pujian dan penghargaan itu amat bermakna buat saya dan rakan setugas,” katanya yang bertugas di LTSM sejak April 2013.

Dalam pada itu, Malaysia Airports menerusi akaun Twitter rasmi memberi penghargaan kepada Mohamad Firdaus dan Mazlan atas sikap amanah kedua-dua kakitangannya itu dalam melakukan tugas.

“Kami amat berbangga dengan adanya warga kerja kami yang memiliki sikap akauntabiliti tinggi dalam menjalankan tugas seharian.Syabas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:45 PM