Pesawat Bombardier milik APMM. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

KEBAKARAN di kawasan belukar tanah gambut di Miri, Sarawak yang berlarutan sejak 3 Ogos lalu menyebabkan keadaan jerebu di kawasan itu dengan kualiti udara pada tahap bahaya.

Justeru, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan pesawat Bombardier bagi memadam kebakaran tanah gambut di Kuala Baram itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini, berkata operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat itu akan bermula esok dan pada masa sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melakukan operasi pemadaman seperti biasa.

Sehingga kini, keluasan kawasan yang terbakar ialah 104 hektar dengan 41.5 hektar berjaya dipadamkan.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan negeri Sarawak memohon menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan kebakaran tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mendapati keadaan atmosfera di kawasan itu tidak stabil dan tidak sesuai untuk OPA dijalankan minggu ini.

“NADMA memohon MET Malaysia dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bersiap siaga melakukan OPA sekiranya keadaan atmosfera bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menasihati penduduk di kawasan itu mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka.

“NADMA juga akan membiayai pembelian topeng muka bagi kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam kenyataan, hari ini, berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri terus merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 361 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sehingga jam 11 pagi tadi.

Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 pula merekodkan bacaan sangat tidak sihat (IPU 268) disebabkan kebakaran belukar tanah gambut berhampiran dengan stesen kualiti udara.

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung dan bahagian barat Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:29 PM