BAPA kepada Angah menunjukkan salinan imej x-ray tulang belakang anaknya yang mengalami masalah tulang belakang bengkok selepas dipercayai sering dibuli. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEORANG murid sekolah rendah di Ayer Hitam, Jerlun didakwa mengalami masalah tulang belakang kerana sering dibuli tiga murid lain sejak tahun lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa dia sering ditendang di bahagian belakang dan paha, selain diperas ugut meminta wang saku.

Dakwanya, kerana wang sakunya sering dirampas, dia terpaksa meminta wang dari kakaknya, 11, yang turut belajar di sekolah sama untuk makan pada waktu rehat.

“Mereka ini terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, mereka sering ejek dan hina saya kata bapa saya gila dan pakaian saya kotor tak dibasuh.

“Selepas itu, mereka minta duit saya antara RM1 hingga RM4, daripada mereka bertiga ada seorang yang akan bertindak menendang saya di belakang dan paha,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Cr Wan Su Haron di rumahnya di Kampung Gerbi Kubang Sepat, Ayer Hitam di Jerlun, hari ini.

Angah berkata, tindakan mereka menyebabkan dia mengalami sakit belakang dan sukar berjalan, selain mengalami tekanan dan tidak mahu ke sekolah.

Sementara itu, ibu mangsa, yang mahu dikenali sebagai Asma, 32, mendakwa, anaknya dikesan berjalan tidak normal sejak Jun lalu.

Katanya, dia sudah membawa Angah ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) dan x-ray pada 15 hingga 22 Julai lalu.

“Doktor memberitahu tulang belakangnya bengkok mungkin disebabkan ‘terhenyak’ dan tidak menolak terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan itu.

“Kini, anak saya tidak dapat berjalan lama dan saya dan suami terpaksa mendukungnya, bahagian belakangnya juga kelihatan merah dan benjol, saya sangat sedih melihat keadaan anak saya sekarang,” katanya.

Katanya, Angah dijangka menjalani pembedahan pada 27 Ogos ini di HSB manakala laporan polis berhubung perkara sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said ketika dihubungi terkejut dengan dakwaan itu dan akan memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:25 PM