Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


TERIMA kasih dan datang lagi. Itu yang diungkapkan Pemuda Kampung Lak - Ol, Narathiwat di Thailand, yang menjadi antara penggerak utama untuk menjayakan program Titipan Kasih Korban Harian Metro (TKHM) 2019.

Sejak seminggu lalu, mereka sibuk melakukan persiapan, memasang khemah serta membersihkan kawasan sekitar Masjid Darulaman untuk menyambut tetamu yang tiba dengan penuh rasa syukur.

Ketuanya Fauzi Osman, 26, berkata sejak ditubuhkan empat tahun lalu, Pemuda kampung berkenan yang terdiri daripada golongan belia aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk membantu masyarakat setempat.

“Bila dimaklumkan TKHM akan datang ke kampung ini, saya rasa gembira kerana ada yang sudi bertandang ke sini.

“Jadi, kami aturkan beberapa persiapan untuk membantu jawatankuasa masjid kerana jumlah lembu yang disembelih juga banyak selain bantuan kepada penduduk kampung,” katanya.

Sebagai ketua gerakan pemuda di situ, dia bertanggungjawab memastikan semua ahli turun padang bersama penduduk kampung untuk bergotong royong memastikan program berjalan lancar.

Menurutnya, mereka berterima kasih kepada Harian Metro dan Dapur Penyet kerana sanggup datang dari jauh untuk memberi bantuan dan menjalankan ibadat korban di sini.

“Ini pengalaman pertama Pemuda Lak-Ol bersama dalam program berskala besar. Kami sangat teruja dan seronok.

“Saya juga harap selepas ini akan ada lagi kunjungan begini dari saudara di Malaysia,” katanya yang juga pelajar di sebuah madrasah di Narathiwat.

Sementara itu Ketua Kampung Lak -Ol Mohamad Tohir Ishak berkata, TKHM yang diadakan di sini adalah program rasmi kepada penduduk kampung menyebabkan persiapan dilakukan lebih awal.

“Program TKHM ini adalah rasmi. Jadi sambutan juga diadakan dengan lebih meriah. Sebab itu tetamu disambut dari perkarangan masjid oleh anak muda, jawatankuasa masjid dan penduduk kampung.

“Secara keseluruhannya, kami gembira dan berharap agar segala-galanya berlangsung dengan baik. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat kepada kita semua,” katanya.


Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Program Titipan Kasih Qurban Harian Metro 2019 di Kampung Lak-Ol, Narathiwat. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 9:32 PM
PENDUDUK kampung menyambut kedatangan petugas Program Titipan Kasih Qurban Harian Metro 2019 di Kampung Lak-Ol, Narathiwat. FOTO Aswadi Alias