MUHAMMAD Aiman (kiri) ketika ditemui bersama keluarganya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


KETIKA rakan sebaya lain belajar dan bermain, Muhammad Aiman Irfan Mohd Sharif, 12, terpaksa mencari rezeki membantu keluarga dengan mengutip biji sawit relai di Sungai Besar bagi menampung kehidupan seharian.

Lebih memilukan, Muhammad Aiman turut disahkan menghidap penyakit buah pinggang yang menyebabkan perutnya membuncit dan warna kulit kekuningan.

Anak ketiga dari enam beradik itu berkata, dia bersama abang sulung, Muhamad Amizan Mohd Sharif, 14, mengambil upah mengutip biji sawit relai sejak beberapa bulan lalu untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.

Menurutnya, sejak mula sakit ketika berusia sembilan tahun, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya, namun dia nekad berdikari dan tidak bergantung pada ibunya yang hanya suri rumah sepenuh masa.

“Disebabkan kemiskinan, saya terlepas rawatan dialisis di Hospital Teluk Intan (HTI) kerana tidak mempunyai kenderaan untuk ke sana.

“Malah, saya juga kerap kali tidak hadir ke sekolah disebabkan penyakit ini yang membataskan pergerakan seharian.

“Saya mahu belajar seperti rakan lain, lebih-lebih lagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bakal menjelang tidak lama lagi. Tapi, apakan daya, keadaan tidak mengizinkan saya berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 16, Sungai Panjang, Sungai Besar, hari ini.

Turut hadir menziarahi keluarga itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya, Parit 16, Sungai Panjang Ahmad Zhafri Md Noor.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Zuliana Mahat, 36, berkata, Muhammad Aiman sering lemah dan mengalami lebam di seluruh badan.

“Saya mendapati dia dalam keadaan sangat pucat dan tidak bermaya lalu dibawa ke hospital sebelum disahkan mengalami penyakit buah pinggang.

“Dunia saya seakan gelap seketika dan hanya mampu terduduk lemah selepas mengetahui penyakit anak itu,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM 500 sebulan.

“Saya kini buntu mencari sumber pendapatan lain kerana selain tidak bekerja, rumah sewa yang diduduki kami sekeluarga sudah dua bulan tertangguh.

“Bagaimanapun, kami bersyukur bantuan itu serba sedikit meringankan beban kami,” katanya.

Zuliana berkata, dia berharap Muhammad Aiman Irfan sembuh seperti sedia kala dan menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

“Hati ibu mana yang tidak gelisah memikirkan soal kesihatan anak? Saban hari saya berdoa agar Allah sembuhkan anak saya dari penyakit ini dan kami sekeluarga boleh menikmati kehidupan seperti dulu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan murid itu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1012329100000526 atas nama Muhammad Aiman Irfan Mohd Sharif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 8:23 PM