(DARI kiri) Mustapa Mohamed, Ikmal Hisham dan Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO ARKIB NSTP
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


UMNO sudah memfailkan saman menuntut ganti rugi terhadap tiga bekas Ahli Parlimen parti itu iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa melanggar kontrak, melanggar amanah dan mendapat kekayaan tidak sepatutnya.

Ketiga-tiga mereka kini sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Saman itu difailkan Datuk Mohd Sumali Reduan dan Datuk Seri Abu Khamis sebagai Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) dan Pegawai Awam UMNO melalui Tetuan Apandi Ali & Co, Selasa lalu.

Bagi Mustapa dan Ikmal Hisham, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu manakala bagi Hamzah ia difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Sumali dan Abu yang mewakili UMNO dan BN sebagai plaintif memohon deklarasi bahawa wujud kontrak antara mereka dan sudah dilanggar Mustapa, Ikmal Hisham dan Hamzah yang dinamakan sebagai defendan.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa semua diperkayakan secara tidak patut, mendakwa wujud pecah amanah antara mereka serta memberi harapan tidak adil kepada parti.

Selain menuntut ganti rugi khas RM200,000 daripada setiap defendan, plaintif juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan sudah menetapkan 27 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi Mustapa dan Ikmal Hisham manakala bagi Hamzah ditetapkan untuk sebutan di hadapan Timbalan Pendaftar Normaizan Rahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.

Berdasarkan writ dan penyata tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa semua defendan mempunyai hubungan kontrak dengan UMNO apabila diterima menjadi ahli.

Mereka mendakwa, ketiga-tiga defendan dicalonkan plaintif pertama untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mewakili parti.

Plaintif mendakwa sebelum tarikh penamaan, semua defendan diberi bantuan kewangan dan juga bentuk bantuan lain antaranya membiayai semua perbelanjaan mempromosi mereka (defendan) serta membenarkan penggunaan jentera pilihan raya.

Selepas dicalonkan untuk bertanding, plaintif memberi defendan bantuan kewangan RM200,000 untuk digunakan sebagai perbelanjaan bagi kempen PRU-14.

Selanjutnya, satu terma tersirat termaktub antara plaintif dan defendan apabila mereka menang dan boleh memajukan agenda parti serta keperluan pengundi di kawasan masing-masing.

Tindakan defendan bersetuju bertanding mewakili plaintif mewujudkan ikatan kontrak antara kedua-dua pihak.

Namun demikian, selepas PRU-14, semua defendan mengumumkan melalui media untuk keluar dari UMNO dan sekali gus melanggar kontrak itu.

Akibat daripada pelanggaran itu, plaintif mendakwa mereka mengalami kerugian.

Plaintif mendakwa ada menaruh harapan sah terhadap semua defendan untuk terus kekal setia bersama UMNO dan akan memajukan agenda mereka.

Plaintif juga mendakwa sebagai wakil rakyat dalam parlimen, defendan menikmati ganjaran gaji serta elaun dan kemudahan lain.

Namun demikian, plaintif mendakwa bantuan kewangan itu menjadi satu pengkayaan tidak patut apabila defendan keluar daripada parti dan seterusnya mungkir janji dan melakukan pecah amanah.

Akibat pelanggaran kontrak, pelanggaran janji, pengkayaan tidak patut dan pecah amanah dilakukan semua defendan, plaintif mendakwa mengalami kerugian.

Plaintif mendakwa adalah parti politik terkenal dan berpengaruh, namun akibat perbuatan defendan, kredibiliti dan reputasi mereka rosak selain menyebabkan pengundi hilang keyakinan.

Oleh itu, plaintif mendakwa mereka berhak mendapatkan ganti rugi dan pampasan di atas kelakuan semua defendan itu dan sekali gus memberi pengajaran dan mencegah wakil rakyat lain untuk keluar daripada UMNO sewenang-wenangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:42 PM