RINA menyampaikan ucapan di majlis perasmian. FOTO Eizairi Shamsudin
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“TUN Dr Mahathir Mohamad tak pernah buat keputusan sendiri sebaliknya semua pendirian dan polisi penting Kabinet dibuat secara konsensus,” tegas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, Perdana Menteri akan mendengar dan mengambil kira pandangan semua anggota Kabinet sebelum membuat sebarang keputusan termasuk isu khat Jawi dan Dr Zakir Naik.

Katanya, pendirian Kabinet adalah secara bersama bukan pendirian Dr Mahathir secara individu.

“Jadi mereka yang di luar Jemaah Menteri, anda tak tahu apa-apa,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Petaling Jaya, hari ini.

Kempen berkenaan dianjurkan Srikandi BERSATU bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 menjelang hujung bulan ini.


RINA memberikan Jalur Gemilang kepada orang ramai sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Srikandi Bersatu Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bahawa Dr Mahathir terlalu berkuasa selaku Perdana Menteri dan sering membuat keputusan sendiri dalam isu-isu tertentu sehingga menimbulkan masalah.

Terkini beberapa menteri khususnya daripada DAP seperti Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo membangkitkan rasa tidak puas berikutan keputusan Dr Mahathir enggan menyerahkan Zakir kepada kerajaan India pada mesyuarat Kabinet, hari ini.

Begitu juga isu khat Jawi apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng dikatakan memaklumkan kepada Perdana Menteri rasa tidak puas hati kaum Cina dan India berkaitan pelaksanaannya kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan.

Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU berkata, Kabinet sudah pun membuat keputusan berkaitan dua isu itu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Jadi saya harap kita tak perbesarkan isu ini lebih-lebih lagi pada bulan kemerdekaan ini kerana kita mementingkan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:01 PM