Tiga suspek kes samun warga asing ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Selatan. Foto Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


TIGA lelaki dipercayai menyewa sebuah kereta semata-mata untuk menyamun dengan mensasarkan warga asing sebagai mangsa mereka.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dan kesemua mereka yang berusia 20 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam tiga serbuan berasingan, semalam.

Serbuan Op Cantas yang diketuai Inspektor Mohd Hafizul Mohamad Azizan itu dilakukan susulan laporan dibuat seorang lelaki warga asing yang juga pekerja sebuah kilang selepas menjadi mangsa samun kumpulan terbabit di Taman Perwira, Bukit Mertajam pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, mangsa yang berusia 23 tahun sedang berjalan bersama rakan sebelum dihampiri sebuah Perodua Myvi yang kemudian menghalang mereka dalam kejadian 8 malam itu.

Menurutnya, seorang daripada suspek kemudiannya keluar dari kereta dan terus mengejar mangsa sebelum merampas beg silang warga asing terbabit sebelum melarikan diri.

“Dalam kejadian itu, mangsa hanya kerugian wang tunai RM60 dan dia juga sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan susulan daripada itu kita berjaya mengenal pasti suspek,” katanya.

Mohd Mustafa berkata, suspek pertama ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah premis kereta sewa di Simpang Ampat pada 12.10 tengah hari.

“Kita turut menahan suspek kedua dan ketiga masing-masing dalam serbuan di Taman Panchor Indah dan Kampung Victoria, Nibong Tebal.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek tidak bekerja dan mereka turut mempunyai rekos lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek turut mengaku mereka mensasarkan pekerja warga asing sebagai mangsa samun kerana ia agak mudah dan sanggup menyewa kereta untuk melakukan perbuatan terbabit.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai barang antaranya telefon bimbit, loket, beg dan pelbagai barangan yang dipercayai milik mangsa yang disamun suspek.

“Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:06 PM