Laporan portal Harian Metro mengenai kemalangan maut membabitkan kereta dipandu wanita Malaysia.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


PEGAWAI Kedutaan Malaysia sudah ke lokasi kemalangan maut membabitkan kereta dipandu rakyat Malaysia hingga menyebabkan lima kematian di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla petang semalam.

Jurucakap Kedutaan Malaysia di Songkhla ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah ke lokasi tetapi tiada butiran lanjut diperolehi.

"Sekarang dia (pegawai) ke tempat kejadian, saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan sekarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Lima pemotong rumput maut, manakala seorang lagi parah apabila dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita rakyat Malaysia dalam kejadian 3 petang semalam.

Pemandu wanita berusia 31 tahun dari Kelantan itu bersama dua penumpang wanita juga rakyat Malaysia dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Siasatan mendapati pemandu terbabit terlanggar sesuatu sebelum hilang kawalan lalu merempuh semua mangsa.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai menaiki Perodua Myvi.

Empat mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.

Berita berkaitan

5 maut dirempuh wanita Malaysia di Songkhla

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:03 PM