Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


KERANI wanita di Cameron Highlands mengalami kerugian RM25,498 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dengan mendakwa kad pengenalannya digunakan individu lain untuk membuat kad kredit, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 39 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa membuat transaksi kad kredit berjumlah RM6,000.

“Mangsa menafikan dakwaan itu, tetapi suspek mendakwa kad pengenalan mangsa mungkin disalahguna pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri pula sebagai pegawai polis daripada siasatan jenayah dan meminta nombor kad bank mangsa.

“Mangsa yang berasa takut terus memberikan semua maklumat akaun banknya kepada suspek.

“Wanita itu kemudiannya menerima tiga mesej transaksi berjumlah RM25,498 daripada akaun banknya ke akaun individu lain,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa ditipu kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk membuat laporan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, lelaki berusia 57 tahun di Muadzam Shah, dekat Rompin kerugian RM22,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam selepas mendakwanya terbabit dengan kes penyeludupan dadah, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa sebelum itu menerima satu panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa ada membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000 daripada sebuah bank.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek bernama ‘Inspektor Imran’ yang memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam kes penyeludupan dadah.

“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah wang ke nombor akaun diberikan kononnya bagi tujuan siasatan.

“Mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM22,000 ke nombor akaun diberikan suspek sebelum menyedari dia menjadi mangsa sindiket itu,,” katanya.

Menurut Mohd Wazir, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:05 AM