ELINE (duduk, kanan) bersama ahli Persatuan Ci Ai mengunjungi Zahlia di rumahnya di Tongkang Pechah, Batu Pahat. FOTO ihsan NGO
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“WALAUPUN usianya 12 tahun, dia umpama bayi,” kata Jalani Ismail, 68, menceritakan mengenai keadaan anak perempuannya Nur Adilla Zahlia atau manja dipanggil Zahlia yang lumpuh seluruh badan.

Katanya, pada usia kurang setahun, Zahlia mengalami demam panas hingga mengakibatkan keadaan fizikalnya tidak seperti kanak-kanak seusia selain tidak mampu berjalan dan berkomunikasi.

Jalani berkata, berikutan itu isterinya Natrah Uteh, 60, terpaksa memberi tumpuan sepenuh masa kepada anak bongsu mereka.

Menurutnya, Zahlia berstatus orang kurang upaya (OKU) bergantung kepada susu, menggunakan lampin pakai buang dan hanya mampu makan bubur.

“Memang isteri kena layan Zahlia macam bayi. Zahlia diberi susu tiga kali sehari selain isteri turut membersihkan badannya.

“Bagi memudahkan proses penghadaman, isteri perlu mengisar makanan sebelum disuap kepada Zahlia. Ada masanya ahli keluarga lain bergilir-gilir menjaga Zahlia terutama ketika isteri kurang sihat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Jorak Senawi Mukim 6 Tongkang Pechah di sini, semalam.

Terdahulu Jalani menerima sumbangan barangan keperluan untuk Zahlia disampaikan Pengerusi Persatuan Ci Ai Batu Pahat, Eline Tee.

Menurutnya, Zahlia sesuai digelar pendamai keluarga kerana dia amat sensitif sekiranya mendengar ada dalam kalangan mereka meninggikan suara.

“Kalau ada ahli keluarga meninggikan suara Zahlia akan menangis dan untuk mengelakkan perkara itu kami semua perlu menjaga adab ketika berkomunikasi.

“Pada masa sama, dia juga mudah terhibur dengan bunyi tertentu seperti tapak kaki dan kasut. Kami tidak pernah berasa jemu menjaga Zahlia, sudah jadi tanggungjawab kami. Zahlia adalah saham akhirat buat kami,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM300 lagi daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Kos pembelian barangan keperluan Zahlia mencecah RM1,000 terutama susu khas disyorkan doktor, namun kami bersyukur kerana turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ci Ai hampir setiap bulan.

“Rezeki Zahlia memang murah, doktor pernah memaklumkan peluang untuk dia sembuh semula tipis, tapi kami sekeluarga sentiasa berharap dan berdoa supaya Allah memberi kesembuhan kepadanya.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, tetapi terpaksa bersara awal berikutan masalah kesihatan,” katanya.

Orang ramai ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01126-41-00004281-3.

Sementara itu, Eline berkata, persatuan itu ditubuhkan sejak setahun lalu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan sekitar Batu Pahat.

Beliau berkata, pihaknya menubuhkan bank barangan seperti makanan dan ubat-ubatan di Nombor 6, Jalan Rotan Tanah, Taman Sri Jaya Batu Pahat.

“Setakat ini seramai 163 keluarga kurang berkemampuan berbilang bangsa dijejak dan diberikan sumbangan setiap bulan.

“Misi kami untuk memberikan khidmat secara berkumpulan dengan kumpulan sasar fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, individu menghidap penyakit kronik dan anak yatim tanpa mengira kaum atau bangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:30 AM