IBRAHIM menunjukkan rumahnya yang rosak teruk dalam kejadian ribut di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my


RIBUT tempias taufan Lekima yang melanda Pulau Pinang dan beberapa negeri utara semenanjung Jumaat lalu, membuatkan seorang tukang rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, tidak menang tangan menerima tempahan membaiki rumah yang rosak.

Isa Ali, 52, berkata dia menerima banyak tempahan membaiki rumah daripada penduduk kampung itu sejak Sabtu lalu sehingga terpaksa menolaknya kerana kekangan masa dan tenaga kerja.

“Ribut ini musibah, tetapi boleh dikatakan menjadi rezeki tambahan untuk saya. Sejak Sabtu lalu, saya terima banyak permintaan untuk baiki rumah tetapi saya tidak dapat ambil semuanya.

“Saya cuma ambil tujuh tempahan sahaja, itu pun saya terpaksa panggil beberapa pekerja saya pulang bercuti awal kerana kurang tenaga kerja,” katanya di Kampung Sekolah Juru di sini, semalam.


ISA Ali

Isa yang mempunyai lapan pekerja berkata, kos untuk membaiki kediaman yang rosak akibat dibadai ribut sekurang-kurangnya RM3,000 bergantung kepada jenis kerosakan, saiz rumah, dan barangan yang digunakan.

Katanya, sehingga kini dia sudah menyiapkan tiga rumah selain menjangkakan akan menyiapkan empat kediaman lagi dalam tempoh lima hari.

“Sebenarnya cepat atau lambat rumah itu disiapkan juga bergantung kepada barang yang diperolehi. Kalau kilang dapat hantar awal, mungkin ia dapat siap cepat,” katanya.

Ditanya adakah kediamannya terjejas akibat ribut, Isa berkata, hanya bumbung stor yang menyimpan barang pertukangan miliknya diterbangkan angin tempias Taufan Lekima itu.

“Stor saya sahaja yang rosak, tetapi itu pun saya sudah letakkan bumbung nipah dulu untuk digantikan sementara. Saya utamakan rumah pelanggan dahulu,” katanya yang mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai tukang rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:45 AM