CIAPAN Wan Amirul yang mendapat perhatian bersama bungkusan makanan mengandungi panadol. FOTO IHSAN WAN AMIRUL IZARIN WAN IZWAN SHAH
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA hargai pertolongannya dan kagum kerana dia tidak berkira dalam melakukan kerja,” kata Wan Amirul Izarin Wan Izwan Shah, 23.

Wan Amirul memberi reaksi mengenai ciapan dimuat naiknya di Twitter, malam tadi, berhubung penghargaan diberikan kepada seorang penghantar makanan yang tidak keberatan membelikannya panadol.

Menerusi ciapan ringkas berserta gambar itu, Wan Amirul mendoakan semoga penghantar makanan terbabit dimurahkan rezeki.

Menceritakan perkara sebenar, Wan Amirul berkata, dia membuat pesanan menerusi khidmat penghantaran makanan segera kira-kira jam 11.20 malam semalam kerana bersendirian di rumah berikutan ahli keluarganya pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Wan Amirul, disebabkan demam dan tiada bekalan ubat di rumah, dia cuba memesan panadol menerusi borang pesanan makanan segera di atas talian.

“Semalam, saya demam dan memanfaatkan hari cuti dengan berehat di rumah saja.

“Hendak keluar pun tidak larat, jadi saya ambil keputusan memesan makanan menerusi atas talian kerana tiada ahli keluarga di rumah.

“Bekalan ubat di rumah pula kehabisan, jadi saya pesan sekali panadol di ruangan pesanan dengan harapan penghantar makanan tidak keberatan membelinya.

“Kiranya, saya hanya cuba meminta pertolongan dan tidak sangka dia (penghantar makanan) membelikan panadol dan menghantarnya bersama makanan dipesan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Wan Amirul, kesungguhan penghantar makanan itu membuatkannya terharu kerana pertama kali berhadapan situasi itu.

Malah, apa yang berlaku menyedarkannya bahawa masih ramai insan berhati mulia dan sudi membantu sekali pun tidak mengenalinya.

“Jujurnya, saya terharu dengan kebaikannya dan hanya mampu mengucapkan terima kasih serta memberikan wang tambahan sebagai tanda penghargaan selepas menerima bungkusan makanan daripadanya.

“Niat saya memuat naik gambar di Twitter pula sekadar berkongsi pengalaman dilalui. Tak sangka pula, perkongsian ini menjadi tular hingga banyak maklum balas diterima.

“Rata-rata warganet memberi komen positif dan diharap perkongsian saya menyedarkan kita semua untuk menghargai individu yang bertungkus lumus mencari rezeki tanpa merendahkan pekerjaan mereka,” katanya yang menetap di USJ 29, Subang Jaya, Selangor.

Setakat jam 11 malam ini, ciapan Wan Amirul mendapat 18,200 tanda suka dan 20,300 ulang ciap oleh warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:08 AM