GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


STATUS gelombang haba di empat negeri, hari ini dilaporkan berada pada tahap satu iaitu paras berjaga-jaga.

Berdasarkan kemas kini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sehingga 4.30 petang tadi, 13 kawasan mencecah suhu antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan itu membabitkan negeri Perak iaitu di daerah Selama, Kuala Kangsar dan juga Kinta manakala, di Pahang membabitkan Bentong serta Rompin.

Selain itu, bagi Sarawak, status tahap satu itu membabitkan lima daerah iaitu Limbang, Kapit, Sri Aman, Saratok, Kuching dan Bau.

Turut tersenarai dua daerah di Sabah iaitu Beluran serta Tuaran.

Bagi kawasan yang tidak berada pada tahap satu, suhu harian maksimum bagi kawasan berkenaan di bawah 35 celcius.

Orang ramai boleh melayari pautan laman bencana MetMalaysia di http://bencana.met.gov.my/ untuk mengetahui maklumat terkini berkenaan gelombang haba itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, suhu begini adalah perkara biasa buat masa ini,

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang berikutan keadaan suhu panas ini hanya bersifat sementara.

“Cuaca ketika monsun barat daya memang biasanya agak sedikit kering dan ia dijangka berakhir pada hujung September ini.

“Apabila beberapa hari tidak hujan, itu yang menyebabkan keadaan suhu agak tinggi serta akan berkurangan bila ada hujan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:40 PM