TUAN Asri (kanan) bersama Hasfizullah (dua kanan) di sambut penduduk di Masjid Darulaman Kampung Lak-Ol, Thailand. FOTO Aswadi Alias
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


PROGRAM Titipan Kasih Korban Harian Metro 2019 di Masjid Darulaman Kampung Lak -Ol di Narathiwat, Thailand, meriah dengan kehadiran lebih 300 penduduk.

Pertama kali diadakan seumpamanya, penduduk bersama sukarelawan akhbar ini dan Dapur Penyet bergotong-royong menjalankan ibadah korban serta kenduri rakyat.

Imam Masjid Kampung Lak-Ol, Mohd Tahir Che Sof berkata, pihaknya begitu teruja menerima kunjungan sukarelawan yang berkampung selama dua hari.

Katanya, ia menjadi episod kenangan kepada penduduk kampung apatah lagi, ia belum pernah diadakan di kampung ini sejak dibuka lebih 60 tahun lalu.

“Saya berterima kasih banyak-banyak kepada Harian Metro dan Dapur Penyet, jauh datang dari Kuala Lumpur untuk membantu kami.

“Sumbangan seperti ini sangat bermakna kepada kami, selain kita beribadah, dapat juga membantu keluarga susah. Memang kami mengalu-alukan program seperti ini,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein, Pengarah Operasi Dapur Penyet, Hasfizullah Mokhtar dan Pengerusi Penganjur Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2019, Husain Jahit.

Sebanyak lapan lembu disembelih dalam program ini selain bantuan kepada keluarga memerlukan.

Sementara itu, Tuan Asri berkata, pihaknya menghargai sambutan hangat diberikan penduduk kampung serta kagum dengan kerjasama begitu baik yang ditunjukkan.

Katanya, ia juga memberikan pengalaman kepada sukarelawan Harian Metro mengenai kehidupan sebenar masyarakat di negara lain.

“Kami berharap bantuan diberikan sedikit sebanyak membantu mereka di sini dan saya harap selepas ini ada pihak lain juga yang sudi memberikan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:29 PM