PERALATAN dan kayak yang ditemui pasukan penyelamat dipercayai digunakan dua warga Singapura yang dilaporkan hilang di perairan Mersing. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KAYAK hijau dipercayai digunakan dua pelancong Singapura yang dilaporkan hilang di kira-kira lima batu nautika timur Pulau Aceh, Endau, Mersing ditemui hari ini.

Kayak terbabit ditemui nelayan tempatan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang, 12.30 tengah hari tadi.

Turut ditemui adalah barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk pasport seorang daripada mereka.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, jarak lokasi penemuan kayak dengan lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang, Khamis lalu, adalah sekitar 80 batu nautika.

“Kayak dan semua barang yang ditemui oleh nelayan diserahkan kepada Pihak Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

“Barangan yang ditemui pada kayak berkenaan adalah dua beg duit berisi wang tunai Malaysia dan Singapura, satu telefon bimbit, satu pasport Singapura milik Tan Eng Soon, satu beg pakaian, satu kad pengenalan diri dan satu pendayung,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dilaksanakan oleh Zon Maritim Mersing dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masuk hari kelima.

“Kita turut dibantu komuniti maritim terdiri daripada masyarakat setempat, golongan nelayan, pengusaha bot penumpang dan masyarakat di pulau-pulau sekitar lokasi.

“Akhirnya, hari kelima SAR, kita menemukan petunjuk baru,” katanya.

Khamis lalu, dua warga Singapura, Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 5.40 petang.

Tan dilaporkan memakai jaket keselamatan berwarna biru merah dan Puah berwarna oren biru sebelum terpisah daripada kumpulan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Berita berkaitan:

  • Pelancong berkayak hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:06 PM