Keadaan trafik di Lebuhraya PLUS menghala ke Kuala Lumpur 8.15 malam tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


ALIRAN trafik menuju ibu kota di beberapa lebuh raya perlahan berikutan orang ramai mula meninggalkan kampung halaman hari ini.

Namun berbeza di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang mana trafik dilaporkan masih lancar dan terkawal di kedua-dua arah sepanjang lebuh raya.

Laporan terkini sehingga 8.40 malam di laman sosial Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik perlahan 17 kilometer selepas Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.

Turut dilaporkan perlahan di sekitar empat kilometer sebelum keluar Plaza Tol Gombak menuju Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Trafik dilaporkan perlahan di Lebuhraya PLUS arah utara dari Jasin ke Ayer Keroh, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh ke Pedas Linggi serta Senawang ke Port Dickson.

Keadaan trafik perlahan turut berlaku di arah selatan iaitu Tangkak ke Pagoh dan Yong Peng ke Kulai.

Trafik juga perlahan ke arah Selatan iaitu Sungai Perak ke Jelapang, Simpang Pulai ke Gua Tempurung, Tapah ke Sungkai serta Lembah Beringin ke Sungai Buaya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www. twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 9:54 PM