Kenyataan asal MetMalaysia (kiri) sebelum disunting pihak tidak bertanggungjawab (kanan).
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan kesalahan ejaan dalam kenyataan amaran ribut petir yang dikeluarkan pada 3.30 pagi, 10 Ogos lalu.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon berkata, kenyataan itu disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Segala kenyataan berkenaan ramalan cuaca oleh MetMalaysia akan dimuat naik secara automatik melalui sistem.

“Memang tidak boleh diubah kecuali ada orang mengubahnya melalui kenyataan yang sudah dikeluarkan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Jailan turut meminta orang ramai untuk berhenti berkongsi kenyataan yang tidak benar itu.

“Sebarang kenyataan rasmi boleh dirujuk dalam laman web rasmi di http://www.met.gov.my/, laman sosial rasmi MetMalaysia ataupun di aplikasi myCuaca yang boleh didapati di Google Playstore dan Apple App Store,” katanya.

Terdahulu, tular mengenai kenyataan ramalan ribut (kemaluan) yang kononnya dikeluarkan MetMalaysia di laman sosial.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi oleh warganet sehingga ada menjadikan kenyataan itu sebagai bahan jenaka.

Dalam pada itu, Jailan berkata, ini bukan kali pertama kenyataan ramalan cuaca MetMalaysia disunting.

“Pernah berlaku ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting ramalan cuaca yang sudah dibuat.

“Perkara seperti ini boleh mendatangkan kebimbangan orang awam.

“Apabila ramalan itu tidak benar mereka akan hilang kepercayaan kepada MetMalaysia walaupun kenyataan itu bukan dikeluarkan kami.

“Sehubungan itu, semua kenyataan yang tidak benar kami akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 9:26 PM