Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


LIMA kru kapal nelayan Brunei dipercayai lemas manakala seorang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas bot dinaiki tenggelam dipukul ombak dan hanyut sehingga ke perairan negara, Rabu lalu.

Setakat ini, hanya Sakur Ahing Juplin, 39, disahkan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) selepas dia dan rakannya diselamatkan nelayan tempatan di perairan Pulau Tiga, 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, rakannya yang masih belum diketahui identiti itu disahkan meninggal dunia pagi semalam di hospital sama.

Difahamkan, Sakur yang juga warga Filipina memaklumkan kejadian berlaku disebabkan bot mereka dimasuki air kerana ombak yang kuat sebelum tenggelam.

Empat kru tenggelam bersama bot dan tujuh lagi terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dan pada hari kedua kejadian, lima daripadanya meninggal dunia dan tenggelam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan berkata, kawasan pencarian tertumpu di Pulau Tiga.

“Tiada penemuan positif oleh aset yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan Jawatankuasa Penyelaras Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (NRCC) SAR kerajaan Brunei menamatkan pencarian pada jam 6.40 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media. Bagaimanapun, Kamaruszaman berkata, SAR akan diaktifkan semula apabila ada petunjuk baru berhubung mangsa yang hilang.

Sementara itu, Pusat Operasi Menyelamat Maritim (MRCC) Kota Kinabalu dimaklumkan antara nama kru yang masih belum ditemui ialah juragan, Naseer Ketugi Abdullah, 39, Sarri Ahing Ibno, 50, Anthony Tomales Dionaldo, 51, Nor Jehad Makakena Abdullah, 27, Cesar Masalihit LLung, 54, Idris, 43, Mujib Intimani Alli, 43, Agus Hariyanto, 39, Rusli Yusanto, 38, dan Glori Dwi Santoso, 24.

Semua kru terbabit adalah terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.

Jumaat lalu, media melaporkan, APMM menerima maklumat daripada NRCC kerajaan Brunei bahawa bot nelayan mereka dikhuatiri hanyut ke perairan Malaysia.

Dua daripada 11 kru diselamatkan nelayan tempatan namun seorang meninggal dunia di hospital.

Berita berkaitan

2 selamat, 9 lagi hilang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 11:59 AM