GERAI menjual buah-buahan yang musnah akibat angin kencang serta ribut di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


HUJAN dan ribut petir dijangka melanda di beberapa daerah di Kelantan pada petang esok ketika umat Islam menyambut Aidiladha.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kelantan, Rabiah Zakaria berkata, bagaimanapun penduduk tidak perlu bimbang kerana ia tidak seperti kejadian ribut di Utara Semenanjung malam tadi.

Beliau berkata, ketika ini angin Monsun Barat Daya adalah menjadi perkara biasa waktu petang akan dilanda ribut petir di satu dua tempat di Kelantan.

“Ribut petir ini tiada kaitan dengan kesan tiupan angin susulan taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

“Saya menasihatkan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan dan ramalan cuaca menerusi web rasmi MetMalaysia setiap masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan web MetMalaysia, ribut petir diramal melanda di satu dua tempat membabitkan Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh.

Harian Metro melaporkan, hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, mengakibatkan pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin.

MetMalaysia hari ini mengesahkan ribut di beberapa negeri di kawasan utara Semenanjung berpunca daripada taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 1:00 PM