KERETA dinaiki lapan sekeluarga yang ditimpa pokok di Jalan Sungai Baru. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


LAPAN sekeluarga terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang akibat ribut dan angin kencang di Jalan Sungai Baru Tengah, Alor Setar, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa termasuk lelaki dewasa, 48, wanita dewasa, 45, dan tiga remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, selain itu, tiga kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun turut berada dalam kenderaan itu.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan pada 8.44 malam membabitkan sebuah kenderaan dihempap pokok tumbang di lokasi kejadian.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khairil Anuar Said bersama enam anggota tiba di lokasi pada 9.01 malam

"Setibanya di lokasi didapati ada dua mangsa tersepit manakala yang lainnya tidak tersepit.

"Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, lima mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menaiki ambulans manakala tiga lagi mangsa dihantar dengan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, dalam kejadian ribut semalam, pihaknya menerima maklumat terdapat tiga mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Langkawi.

Katanya, seorang daripada mangsa yang juga wanita warga Maghribi dikenali Meryim Zaamoume, 56, dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala dua lagi mangsa masih belum diketahui identitinya.

"Anggota bomba di 19 BBP di negeri ini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ribut atau angin kencang melanda lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 1:15 AM