Seorang daripada dua nelayan Brunei yang diselamatkan dibawa di Jeti APMM Sepanggar, Kota Kinabalu hari ini. Foto Ihsan APMM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


DUA kru kapal nelayan Brunei dipercayai hanyut diselamatkan nelayan tempatan di perairan Pulau Tiga, dekat Kota Kinabalu, tengah hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah Laksamana Muda Kamaruszaman Hassan berkata, pihaknya sebelum itu ada menerima maklumat daripada Jawatankuasa Penyelaras Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (NRCC) Brunei yang memaklumkan sebuah bot nelayan mereka dikhuatiri hanyut ke perairan Malaysia.

Menurutnya, mereka mohon bantuan aset untuk mengesan 11 mangsa berkenaan.

“Pihak NRCC kerajaan Brunei sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu lalu dan Pusat Operasi Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya menyalurkan maklumat untuk memohon bantuan aset kami untuk mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamaruszaman berkata, MRSC KK kemudiannya menerima maklumat terdapat sembilan mangsa yang memakai jaket keselamatan dilihat di sekitar perairan Semarang oleh pelaut pada hari yang sama.

“Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kemudiannya digerakkan ke kawasan itu untuk mengesan mangsa tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

“Bagaimanapun, sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan dua kru terbabit di sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga.

“Setakat ini, sembilan lagi kru masih belum ditemui,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada kru terbabit yang juga warga Filipina berusia 39 tahun dilihat dalam keadaan lemah sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) sejurus tiba di Jeti APMM Sepanggar petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 9:44 PM