Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


POLIS berjaya menyelesaikan kes ragut bersiri di sekitar Langkawi, sejak dua minggu lalu, selepas tertangkapnya seorang lelaki di sebuah inap desa di Kampung Padang Ranggut di pulau itu, Rabu lalu.

Suspek berusia 20 tahun dan baru sahaja dibebaskan dari penjara kerana jenayah samun, pecah rumah, curi motosikal dan dadah ditangkap pada 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad kredit dan kad debit milik mangsa ragut.

“Lelaki itu dikatakan melakukan jenayah dengan menggunakan modus operandi menunggang motosikalnya dan kemudian meragut beg tangan mangsa yang berjalan di bahu jalan raya.

“Kes terbaharu, suspek meragut beg tangan seorang wanita yang sedang berjalan bersama suaminya berhampiran sebuah resort di Pantai Chenang pada Selasa lalu,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, semalam.

Mohd Iqbal berkata, suspek kemudian ditahan ketika bersembunyi di sebuah inap desa oleh sepasukan polis, hasil maklumat awam.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, kita berjaya menyelesaikan kes berkaitan ragut di kawasan Kuah dan Pantai Chenang sejak dua minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:44 AM