Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

WANITA di FELDA Purun, Bera kerugian RM4,200 selepas diperdaya sindiket Macau Scam kononnya mangsa mempunyai hutang kad kredit RM10,580.88.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada mulanya mangsa menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Encik Rusdi’ kononnya Pegawai Tadbir Mahkamah Terengganu.

“Suspek memberitahu mangsa ada hutang dengan kad kredit Maybank berjumlah RM10,580.88 namun mangsa menafikan sebelum panggilan disambung kepada Sarjan Salina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Sarjan Salina memaklumkan beliau akan memeriksa perkara itu dengan Bank Negara sebelum panggilan mangsa diserahkan kepada lelaki yang mendakwa polis bertugas di Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek lelaki meminta maklumat mengenai akaun Bank Islam milik mangsa kononnya untuk siasatan Bank Negara.

“Mangsa memberi semua maklumat peribadi akaunnya termasuk nombor TAC yang diterima.

“Tidak lama kemudian mangsa dihubungi pegawai Bank Islam menyatakan transaksi berlaku pada akaun miliknya RM4,200 ke akaun orang lain,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:21 AM