Zulkifli (tengah) bersama Dr Rahmat (kanan) dan Hishamuddin sebelum menaiki pesawat untuk misi korban di KLIA, Sepang malam ini. Foto Jamilul Anbia Md Denin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


“IBADAH korban ini dilakukan serentak di 14 buah negara hasil sumbangan dan amanah rakyat Malaysia," kata Presiden Muslim Care Malaysia (Muslim Care) Zulkifli Wahijan yang memulakan misi ke Tanzania, malam ini.

Menurutnya, program bantuan kemanusiaan dan misi korban di Tanzania itu adalah hasil kerjasama dengan Sinar Korban Services yang dikelolakan Dr Rahmat Abdullah yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang turut dibantu wakil Badan Kebajikan Islam Petronas Hishamuddin Ibrahim.

"Pada tahun ini, ibadah korban dilakukan serentak oleh Muslim Care Malaysia di beberapa negara lain antaranya membabitkan etnik Rohingya di Bangladesh dan juga masyarakat Islam di Nigeria, India, Yaman, Poland, Kemboja, Filipina, Republik Chad, Palestin, Syria, Sudan, Indonesia, Nepal, Jordan serta Mesir.

"Setiap tahun lebih 50,000 masyarakat Islam dalam kalangan asnaf dan fakir miskin di semua negara itu menerima manfaat bantuan daging korban dan aqiqah yang diselaraskan oleh Muslim Care," katanya.

Menurutnya, program itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada penduduk miskin di negara berkenaan menikmati makanan enak daripada daging korban.

Katanya, Tanzania yang terletak di timur benua Afrika berada di tangga kesembilan paling miskin di dunia dan 40 peratus rakyatnya beragama Islam.

"Program ini secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka yang mempunyai rezeki lebih untuk mengambil bahagian melakukan ibadat korban dengan kos lebih rendah.

"Setakat ini sebanyak 40 ekor lembu dan 40 ekor kambing akan disembelih di Mwanzomgumu dan Chamazi iaitu lokasi penempatan penduduk miskin di pinggir ibu negara Tanzania, Dar es Salaam pada Ahad ini.

"Kami turut akan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan terutamanya membabitkan pemberian kelengkapan pendidikan, membangunkan pusat dakwah dan masjid selain kemudahan pili air.

"Kami juga akan menilai keperluan mendesak umat Islam di Tanzania selain turut membuka peluang kepada Muslim Care melihat sendiri perkembangan syiar Islam di negara itu seperti mana misi sama dilakukan di Poland, Jepun, Republik Chad, New Zealand dan beberapa negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:33 PM