Lelaki yang disyaki terbabit dalam beberapa kes ragut dan barang serta motosikal yang dirampas polis selepas menahannya di Kampung Padang Ranggut, Langkawi semalam. Foto Ihsan PDRM
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


POLIS percaya dapat menyelesaikan kes ragut bersiri di sekitar Langkawi sejak dua minggu lalu hasil penahanan seorang lelaki di sebuah inap desa di Kampung Padang Ranggut, semalam.

Lelaki berusia 20 tahun dan baru saja dibebaskan dari penjara kerana jenayah samun, pecah rumah, curi motosikal dan dadah itu ditahan pada 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad kredit dan kad debit milik mangsa ragut.

Menurutnya, modus operandi lelaki berkenaan dengan menunggang motosikal dan kemudiannya meragut beg tangan mangsa yang berjalan di bahu jalan.

“Kes terbaru membabitkan suspek pada Selasa lalu, apabila disyaki meragut beg tangan seorang wanita yang sedang berjalan bersama suaminya berhampiran sebuah resort di Pantai Chenang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek sudah direman dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Dengan penahanan suspek terbabit, kita percaya dapat menyelesaikan kes berkaitan ragut di kawasan Kuah dan Pantai Chenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:07 PM