Gambar hiasan
BERNAMA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihati pengguna lebuh raya supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) lebih awal atau sebelum memulakan perjalanan sempena Aidiladha pada Ahad ini.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 20 peratus pada hari puncak iaitu 9 hingga 12 Ogos serta 17 dan 18 Ogos berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.

PLUS turut memaklumkan bahawa syarikat konsesi tol itu tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

“Namun, terdapat kira-kira 10,000 pusat menambah nilai kad TnG di seluruh negara yang merangkumi mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik), R&R (hentian rehat dan rawat), stesen minyak, pasar raya dan kiosk layan diri,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna lebuh raya juga tidak boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect ketika ini.

“Oleh itu, mereka dinasihatkan supaya menambah nilai kad TnG dan menggunakannya untuk semua transaksi tol di lebuh raya kendalian PLUS.

“PLUS juga menasihatkan supaya pelanggan lebuh raya menggunakan aplikasi kami yang boleh dimuat turun secara percuma untuk mendapatkan maklumat trafik terkini,” katanya.

PLUS turut memaklumkan maklumat trafik dihebahkan secara berterusan menerusi Twitter PLUSTrafik serta papan tanda elektronik di lebuh raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 1:34 AM