SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan. FOTO Zaaba Zakeria.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SERAMAI 39 tukang urut warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam serbuan di tiga spa dan pusat urut di USJ 21, Subang Jaya dan Seri Kembangan, malam semalam.

Dalam serbuan bermula 9.30 malam itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menahan enam individu termasuk dua lelaki tempatan, dengan semua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun.

Pengarah JIM Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam (19), Indonesia (16), Thailand (5) dan Bangladesh (3).


DUA wanita warga asing cuba bersembunyi di bawah tilam bagi mengelak ditahan. FOTO Zaaba Zakeria.

“Dalam serbuan pertama, dua pusat urut di USJ21 diserbu yang membawa kepada penahanan 20 warga asing dan dua warga tempatan.

“Sebaik tiba di premis berkenaan, anggota terpaksa memecahkan pintu besi magnet yang cuba dikunci oleh penjaga premis,” katanya, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, operasi kedua pula membabitkan serbuan di spa di tingkat bawah pusat beli-belah di Seri Kembangan.

“Tindakan pantas anggota yang mengepung lokasi itu berjaya menghalang semua pengunjung dan pekerja yang berada di premis berkenaan daripada melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap 50 pekerja dan pengunjung mendapati 23 wanita warga asing bekerja di premis sebagai tukang urut dan mereka ditahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati terdapat kegiatan seks yang dipercayai ditawarkan wanita warga asing berkenaan dengan kadar bayaran tertentu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tiada dokumen perjalanan diri serta menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 3:44 PM