PEMANDANGAN Kuala Lumpur kabur diselubungi jerebu. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berkata beliau malu kepada Malaysia dan Singapura yang turut terjejas jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia.

“Saya kadang-kadang malu. Minggu ini saya mau ke Malaysia dan Singapura. Tapi, saya tahu minggu kemarin (minggu lalu) sudah jadi ‘headline’ (tajuk berita), jerebu masuk lagi ke negara tetangga kita. Saya ‘check’ (semak) jerebu ini apa, ternyata asap,” kata Jokowi dipetik media tempatan.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Penyelarasan berkaitan Pengendalian Kebakaran Hutan di Istana Negara, semalam.

Jokowi menerusi akaun Instagramnya hari ini pula berkata beliau mengarahkan semua pihak berkaitan agar lebih serius menangani kebakaran hutan di negara ini.

Jokowi berkata, beliau tidak mahu kejadian kebakaran pada 2015 yang memusnahkan kawasan seluas 2.6 juta hektar di Kalimantan dan Sumatera kembali berulang.

Berdasarkan data yang disiarkan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) Indonesia, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lepas di republik ini.

Ketika ini, beratus-ratus hektar dilaporkan masih terbakar membabitkan enam wilayah dan beberapa daerah (kabupaten) di seluruh Indonesia.

Jokowi dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan Singapura pada Khamis dan Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 3:33 PM