FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas 45 pertuduhan menipu 715 keping tiket konsert Westlife palsu bernilai lebih RM150,000.

Tertuduh, S Kelvin Raj, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-45, Kelvin didakwa menipu jurujual, Sim Ting Ting untuk mempercayai bahawa semua tiket yang dijualnya adalah benar.

Perbuatan tertuduh itu didakwa mendorong mangsa membuat kemasukan RM151, 956 ke dalam akaun Hong Leong Bank milik tertuduh secara berperingkat bermula 23 Mac sehingga 25 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium, Taman Serdang Raya, Seri Kembangan.

Pertuduhan kes dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim mencadangkan RM50,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam R Krishna Murthy memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah disebabkan kedua-dua ibu bapa anak guamnya tidak bekerja.

Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, mahkamah memerintahkan lelaki itu menyerahkan pasport dan melaporkan diri setiap bulan di balai berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 23 September ini sebagai sebutan semula kes.

Konsert Westlife akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Stadium Melawati Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 2:20 PM