Anggota pasukan Inovasi JAWI menggunakan mesin R-Paq untuk melupuskan helaian al-Quran yang rosak, lapuk atau tercemar di Darul Kalam, Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, Kuala Lumpur. Foto Rosdan Wahid
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


BAGI memudahkan orang ramai untuk melupuskan al-Quran rosak, lapuk atau dicemari najis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tampil dengan ciptaan khusus itu mesin Relau Pelupusan Al-Quran (R-Paq).

Dihasilkan sejak lima tahun lalu, ia ditempatkan di Darul Kalam, Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, Kuala Lumpur dan berupaya melupuskan 100 kilogram helaian mengandungi ayat al-Quran dalam tempoh lapan jam, satu jumlah yang efisyen dengan tangki khas untuk menyimpan debu selepas dibakar.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI Ilham Che Daud berkata, ia projek teknologi hijau digunakan secara rasmi pada tahun lalu selepas melalui beberapa ujian untuk melihat keupayaan relau terbabit.

Menurutnya, selepas mula digunakan, pihaknya membuat hebahan menerusi media sosial seperti Facebook dan pada peringkat awal dikongsi oleh 1,800 orang selain diikuti lebih 1,300 orang di Twitter.

“Alhamdulillah, kita mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat dan kita boleh ceritakan kepentingan menjaga kemuliaan al- Quran, tidak dibiarkan dalam keadaan tak terurus, bagaimana menjaga al- Quran yang mungkin rosak terkena banjir dan sebagainya.

“Jadi, kami buat penerangan secara umum kepada masyarakat supaya mereka tahu dan boleh merujuk kepada Bahagian Penyelidikan JAWI untuk menghantar bahan ke Darul Kalam iaitu tempat pemprosesan, pelupusan bahan dan teks al-Quran,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ilham yang juga Pegawai Inovasi JAWI berkata, antara yang dihantar kepada pihaknya termasuklah bahan yang koyak dan lusuh, rosak akibat ditenggelami air dan ada beberapa kes al-Quran terkena najis akibat kebocoran paip untuk dilupuskan menggunakan R-Paq.

Menurutnya, bahan yang diterima akan ditimbang terlebih dulu dan diasingkan mengikut ketebalan sebelum dimasukkan di dalam mesin perincih kertas dan terus ke mesin bakar.

“Selepas itu, kita sejukkan semalaman dan sembur dengan air ke tangki simpanan khas yang terletak di bahagian belakang bangunan Darul Kalam.

“Sehingga Jun tahun ini, kami sudah bakar 7,70 kilogram teks dan bahan al-Quran dan akan terus terima apa yang dihantar oleh orang ramai atau agensi sedia ada.

“Kita akan tambah baik pemprosesan ini supaya lebih mudah dan saya harap orang ramai mengetahui kepentingan menjaga al-Quran ini kerana ia adalah kalam Allah,” katanya.

Ilham berkata, R-Paq juga menyertai Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2019 dan pihaknya berharap penyertaan itu akan membuahkan sesuatu yang positif dan dapat membantu umat Islam melupuskan bahan terbabit dengan cara yang betul seperti dianjurkan agama.

“Ini kali pertama kita mengambil bahagian dalam pertandingan selepas pasukan seramai 14 orang ini bertungkus-lumus, kita harapkan ia akan memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Pustakawan Universiti Putra Malaysia (UPM) Norhazura Hamzah berkata, pihaknya menghantar bahan untuk dilupuskan ke Darul Kalam selepas membaca mengenai pusat terbabit di Internet.

Menurutnya, dia lega kerana dapat melupuskan al-Quran dengan cara yang betul dan bersyukur ia tidak dibuang begitu saja.

“Ia adalah bahan yang dihadiahkan kepada UPM dan mengandungi ayat al-Quran serta kitab lama. Selepas mencari maklumat, saya dapati Darul Kalam menyediakan khidmat pelupusan ini,” katanya.

Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail pula berkata, pihaknya berharap inisiatif itu akan menerima pengiktirafan di peringkat tertinggi bagi memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini.

“Perkara ini penting di dalam usaha JAWI menyebarkan syiar Islam terutamanya di dalam aspek pengurusan yang mengutamakan elemen alami iaitu satu daripada enam kluster berasaskan teras RAHMAH,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 10:56 PM