FOTO Hiasan
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


TINDAKAN biadap seorang penjaja yang menghina Nabi Muhammad dan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dibalas dengan hukuman penjara 30 bulan.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Chow Mun Fai, 43, di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua tuduhan.

Beliau memutuskan bahawa tindakan menghina Muhammad Adib ketika rakyat sedang meratapi dan berkabung atas kematian lelaki itu tidak boleh diterima mahkamah.

“Perbuatan tertuduh adalah melampau dan melebihi had kebebasan bersuara. Mahkamah juga tidak boleh menerima perbuatan tertuduh yang memberi komen negatif terhadap agama lain.

“Perbuatan tertuduh seolah-olah dirancang kerana ia dilakukan secara berulang kali,” katanya.

Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh hingga 30 bulan bagi semua pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dan bukan Melayu, pada 8.07 pagi, 13 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial sama, pada 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac serta 13 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Chow juga didakwa atas empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama dan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan terbabit, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Raj.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:47 PM