FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki yang menyamar doktor sakit puan dan membuat panggilan telefon kepada wanita sebelum meminta mangsa melakukan aksi lucah membawa padah apabila dipenjara dua bulan.

Hukuman itu ditetapkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini atas empat tuduhan mengaibkan kehormatan mangsa dan menyamar penjawat awam.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Fauzi Abd Ghani, 39, pembantu operasi di Jabatan Veterinar Kuala Terengganu selepas dia mengaku bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Ketika mendengar fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, Mohd Fauzi yang berdiri di dalam kandang tertuduh dilihat hanya menundukkan kepalanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mengaibkan kehormatan dua wanita masing-masing berusia 21 tahun dengan menghubungi mangsa dan menyuruh membuat aksi lucah.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan kepada dua mangsa sama hingga menyebabkan mereka percaya dia adalah penjawat awam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 12.57 tengah hari dan 9.27 malam di rumah kedua-dua mangsa di Antara Gapi, Serendah dan Bandar Ligamas, Batang Kali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia sudah insaf dan ibunya sakit.

“Saya bertaubat,” katanya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Sabrina Abd Rashid memohon hukuman setimpal kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghubungi mangsa melalui telefon bimbit dan memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan.

Dalam kejadian itu, tertuduh mengatakan mangsa pertama mengalami kanser payu dara menyuruh mangsa membuka baju kemudian mencabul mangsa.

Seorang lagi mangsa diarah menanggalkan pakaian dan sekali lagi dia mencabul wanita itu.

Bagi pertuduhan mengaibkan kehormatan, Hakim Nurul Mardhiah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan, manakala menyamar penjawat awam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap, 13 Julai lalu.

Harian Metro melaporkan tertuduh ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah hotel di Klang, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 3:28 PM