SETIAUSAHA Agung NUTP, Harry Tan. FOTO Arkib NSTP.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“MURID sudah mula mengenali seni tulisan Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan kepada murid Tahun 1 mulai 2011.
”Pada 2015, ia terdapat dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock.

Sehubungan itu, beliau berkata, tahun ini adalah tempoh semakan KSSR Tahun 4 dan meminta semua pihak menghormati serta membiarkan golongan profesional mencari jalan supaya pembelajaran seni tulisan itu tidak membebankan murid di samping memupuk gaya penulisan indah menjelang tahun hadapan.

“NUTP berpendapat pengenalan seni khat berkenaan adalah bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

“Justeru ia tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kontroversi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas polemik berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di SJK, baru-baru ini.

Dalang bantahan itu termasuk DAP serta dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Sementara itu, laporan portal berita FMT menyebut, Dong Jiao Zong meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.

Dalam satu kenyataan bersama 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina lain berkata, kementerian perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 9:16 PM