GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


MOTOSIKAL berkuasa tinggi Harley Davidson CVO Ultra Red yang parkir di sebuah pusat beli belah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru turut menjadi sasaran pencuri, sama seperti motosikal ‘panas’ lain seperti Yamaha 125ZR atau lebih dikenali ‘Ysuku’.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu disedari pemiliknya apabila ingin mengambil motosikal yang parkir pada 4.30 petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pengarah syarikat berusia 76 tahun mendakwa parkir motosikalnya itu di pusat beli belah terbabit pada 12.30 tengah hari.

“Kira-kira empat jam kemudian ketika mangsa cuba mengambil motosikalnya semula, didapati ia tiada di lokasi dan dipercayai dicuri.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis bantuan pusat beli belah berkenaan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, motosikal berkenaan yang bernombor pendaftaran FBB3333K, warna merah itu dibeli mangsa dengan harga kira-kira SGD 70,000 (RM210,000) dan digunakan sejak 12 tahun lalu.

Katanya, mangsa menganggarkan mengalami kerugian SGD 30,000 (RM90,000) kerana kehilangan motosikal berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Iskandar Puteri di nombor 07-5113622,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:35 PM