Aksi ‘wheelie’ dan ‘Superman’ penunggang motosikal yang dikesan JSPT Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


LAPAN remaja yang mempamerkan aksi ‘wheelie’ dan ‘Superman’ mengundang padah apabila ditahan polis dalam operasi di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dilakukan di Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) itu menahan remaja berusia 15 hingga 21 tahun.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tindakan remaja berkenaan seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan turut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi itu, individu yang ditahan juga didapati turut membuat pengubahsuaian kepada motosikal seperti ekzos, menggunakan tayar kecil, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.

“Semua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk proses dokumentasi,” katanya.

Menurutnya, kesemua remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berhubung kesalahan jalan raya boleh memaklumkan ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:00 PM