Nor Syaqira bersama ibu serta adiknya pada Majlis Konvokesyen MSU Ke-25 hari ini. FOTO Faiz Anuar
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


“KEJAYAAN Kak Yong hari ini atas jasa dan pengorbanan arwah ayah,”.

Itu kata penuntut terbaik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Perdagangan, Nor Syaqira Raai, 23, yang menghadiahkan kejayaannya kepada arwah bapa tercinta, Raai Hassan, 55, yang meninggal dunia akibat sakit jantung, April lalu.

Menurut Nor Syaqira, masih segar dalam ingatan memori bersama arwah bapanya sejak kecil sehingga berjaya menggenggam ijazah.

“Sejak kecil ayah tidak pernah gagal mengajar kami adik beradik erti hidup biarpun tidak mewah.

“Upah ayah membawa teksi berjaya membesarkan saya dan dua lagi adik sehingga kami masing-masing berjaya masuk universiti.

“Namun saya terkilan ayah tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen hari ini kerana apa yang saya buat sehingga hari ini hanyalah untuk membalas jasa ayah dan ibu,” katanya.

Dia berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) kali ke-25 di Shah Alam hari ini.

Berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan adalah Canselor MSU yang juga Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut hadir Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Nor Syaqira yang mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) tertinggi iaitu 3.83 turut berkongsi tips belajar supaya lebih mudah menghadapi peperiksaan akhir iaitu dengan membuat latihan selepas kelas tamat.

“Selain tidak pernah ponteng kelas, saya juga menulis semula nota setiap subjek yang diajar supaya dapat mengingati apa yang penting.

“Saya juga sering belajar pada saat akhir menjelang peperiksaan, jadi nota yang dibuat awal banyak membantu untuk mengingati apa yang diajar,” katanya yang mendapat tajaan Lembaga Zakat Selangor.

Sementara itu, Nor Aini Abdul Rahman, 57, ibu kepada Nor Syaqira turut berbangga atas kejayaan anak sulungnya yang menjadi contoh kepada dua adiknya yang turut menuntut di MSU.

“Saya bersyukur dikurniakan arwah suami yang berjaya mendidik anak biarpun sibuk bekerja dan tidak pernah mengabaikan kebajikan keluarga sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:31 PM