Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


DISEBABKAN takut dihukum gantung kerana didakwa memiliki dadah, lelaki warga emas sanggup ‘membayar’ RM30,000 untuk membersihkan namanya.

Namun, nasibnya malang apabila dia yang berusia 62 tahun, sebenarnya diperdaya sindiket penipuan dan membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon seorang lelaki mendakwa pegawai bank pada 10 pagi semalam.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman yang belum dilunaskan selain, terbabit jenayah apabila dikatakan memiliki 16 kilogram dadah serta pengubahan wang haram.

“Suspek mendakwa mangsa boleh dikenakan hukuman gantung, namun ia boleh ditarik balik jika membayar RM30,000.

“Disebabkan terlalu takut, mangsa hanya menurut arahan suspek dan membuat pindahan wang dalam satu transaksi bank. Mangsa diminta merahsiakan perkara itui daripada pengetahuan keluarga.

“Bagaimanapun, selepas melakukan pindahan wang itu, mangsa memberitahu anaknya yang kemudian menjelaskan dia sudah ditipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa dibawa anaknya untuk membuat laporan polis, semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Susulan itu beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah sindiket begitu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 1:14 PM