ROCHE (lima dari kiri) bergambar bersama pempamer pada sidang media Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


SEBANYAK 3,397 unit hartanah membabitkan kediaman dan bangunan pejabat ditawarkan sempena pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di pusat beli-belah Komtar JBCC, Johor Bahru, pada 16 hingga 18 Ogos ini.

Pengurus Besar Pengiklanan, Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew berkata, pameran siri ketiga selama tiga hari itu bagi memenuhi impian orang ramai memiliki kediaman dan hartanah idaman di Johor.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 50,000 pengunjung ke pameran hartanah menyaksikan penyertaan tujuh projek perumahan dan bermula 10 pagi hingga 10 malam itu.

Menurutnya, pelbagai jenis kediaman dan bangunan pejabat ditawarkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM2.2 bilion.

“Selain membolehkan orang ramai memenuhi impian memiliki rumah sendiri, pameran itu berfungsi untuk berkongsi tips permohonan pembiayaan perumahan serta memberi peluang meninjau pelbagai projek perumahan pada harga berpatutan.

“Sejak diperkenalkan pada 2016, MyRumah bekerjasama dengan puluhan syarikat pemaju perumahan tempatan dan syarikat bukan pemaju dan penganjuran pameran di Johor Bahru adalah antara terbesar dan menerima sambutan baik.

“Ia sesuai dikunjungi orang ramai berikutan menggabungkan konsep 4P iaitu elemen pameran, pengalaman, pendidikan dan persekitaran.

“Saya menggesa orang ramai untuk singgah ke MyRumah 2019 di Johor Bahru dan dapatkan penjelasan lebih lanjut daripada penceramah hartanah dijemput kerana mereka memberikan tips membeli kediaman dan pelaburan hartanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2019, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengiklanan Wilayah & Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) NSTP, S Linggaraj.

Pameran MyRumah turut disokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pameran siri pertama diadakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu dan siri kedua diadakan di Melaka pada bulan lalu.

Selepas pameran di Johor Bahru ini, MyRumah akan diadakan di Kuantan (September), Shah Alam (Oktober) dan Ipoh (November).

Pameran itu turut menampilkan tujuh pemaju hartanah utama iaitu Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Dynasty View Sdn Bhd; GuocoLand (Malaysia) Berhad; Johor Land Berhad; Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT)/Jabatan Perumahan Negara (JPN); Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia turut disertai oleh Takaful Ikhlas Berhad; MBSB Bank Berhad dan Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd.

Pembeli rumah berpeluang memenangi sebuah kereta Nissan Almera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:54 PM